SELANGOR

SAOW sedia perkhidmatan bayaran hujung minggu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Orang awam boleh melakukan semakan dan pembayaran cukai serta perkhidmatan lain menerusi Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) Sabtu ini di perkarangan tempat letak kereta Plaza Shah Alam, Seksyen 9.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, SAOW bakal beroperasi bermula 11 pagi sehingga 5 petang.

Katanya, ia merupakan perkhidmatan yang disediakan MBSA bagi memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“SAOW ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan serta pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan jualan kupon parkir,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MBSA berharap inisiatif ini akan memantapkan lagi sistem perkhidmatan untuk manfaat masyarakat.


Pengarang :