BERITA UTAMASELANGOR

Sasar satu keluarga, satu kediaman

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 22 NOV: Kerajaan Selangor menyasarkan setiap keluarga di negeri ini memiliki kediaman sempurna melalui program Rumah Selangorku.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, untuk merealisasikannya, Kerajaan Negeri komited membina 30,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

“Usaha berkenaan sudah melepasi sasaran awal, iaitu 15,000 unit melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak swasta melalui pembinaan Rumah Selangorku.

“Penyediaan rumah mampu milik ini bukan setakat menyediakan rumah, namun memperkenalkan konsep rumah yang selesa daripada segi saiz, reka bentuk mahupun komunitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pecah Tanah Fasa 2A Pangsapuri Kos Sederhana di Lot 69831, di sini, semalam.

Katanya, projek pangsapuri kos sederhana itu adalah kesinambungan daripada sebahagian rancangan Permodalan Negeri Selangor Berhad, pada 2004 untuk memajukan tanah di kawasan sekitar Mukim Batu, Daerah Gombak bagi menempatkan semula penduduk asal yang mendiami setinggan rumah panjang, di situ.

Katanya, blok pangsapuri kos sederhana yang akan dibina berhadapan Pangsapuri Permai itu akan turut dilengkapi pelbagai fasiliti untuk bakal pemilik.

“Projek Fasa 2A ini akan membabitkan pembinaan 340 unit pangsapuri 10 tingkat yang terbahagi kepada tiga blok dan sebanyak 120 unit dijangka akan mula dibina dalam masa terdekat termasuk surau, dewan serbaguna dan tadika,” katanya.


Pengarang :