NASIONAL

Satu belanjawan tidak boleh selesai masalah 60 tahun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Kemelut hutang, struktur ekonomi dan pentadbiran negara di bawah Barisan Nasional (BN) tidak boleh diperbaiki dengan hanya sekali pembentangan belanjawan.

Penasihat Ekonomi Pejabat Dato’ Menteri Besar, Dr Mohd Zulkufli Zakaria berkata, hal itu kerana kerosakan dilakukan pentadbiran terdahulu berlaku sejak 60 tahun lalu.

“Tak mungkin kerosakan selama 60 tahun boleh dibaiki dengan satu belanjawan tetapi ia memerlukan masa dan kerjasama semua pihak,” katanya pada Dialog Belanjawan 2019 anjuran Institut Darul Ehsan (IDE), di Bangunan IDE, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, Belanjawan 2019 yang dibentangkan, pada 2 November lalu dilihat banyak menumpukan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Pada masa sama, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) juga memerlukan budaya kerja baru selaras semangat reformasi yang dibawa.

“Antara isu penting yang perlu ditangani termasuk memastikan tender kerajaan dijalankan secara terbuka dan telus,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Datuk Hadzir Md Zain berkata, PAKATAN perlu membuktikan kemampuan mentadbir negara lebih baik, berbanding BN.

Katanya, hal itu kerana rakyat tidak teragak-agak menukar kerajaan, pada pilihan raya akan datang jika berpendapat kerajaan sedia ada gagal membawa perubahan diharapkan.

“Apabila berkahwin memang susah nak bercerai dan kahwin lain kerana dia akan cuba pertahankan perkahwinannya tetapi bila sekali bercerai dan kahwin lain, dia teragak-agak untuk melakukannya lagi jika dapati tidak sesuai.

“Sama juga dengan menukar kerajaan kerana rakyat makin sedar mereka boleh menukar kerajaan hanya dengan hujung jari sahaja pada pilihan raya,” katanya.

Hadzir berkata, selain membuktikan kemampuan, penerangan berterusan juga perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau turut memuji Belanjawan 2019 yang mesra rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.


Pengarang :