NASIONAL

Satu keluarga, tiada lagi ‘team A atau B’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Semua kepimpinan KEADILAN dinasihatkan tidak lagi berbalah sesama sendiri, sebaliknya bersama mengharmonikan parti berkenaan.

Ketua Srikandinya, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, setiap anggota parti perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan keluarga besar.

“Kita tidak mahu lagi ‘team A atau team B’ dalam parti ini, KEADILAN adalah keluarga besar.

“Selepas pemilihan, kongres ini saya mahu semu ahli dan kepimpinan turun ke bawah jumpa rakyat,” katanya pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13, bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara, di IDCC, di sini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan pemimpin yang menang dalam pemilihan parti supaya menjalankan tugas dengan sebaiknya.

Katanya, jika tanggungjawab tidak dapat dilaksanakan dengan baik, maka ahli parti lain akan ‘mengangkatnya’ keluar dari KEADILAN.

“Jangan buat onar. Saya mahu ingatkan pemimpin kamu menang tetapi kami perit. Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN, buat onar, kami angkat kamu keluar.

“Begitu juga kamu baru masuk KEADILAN, kamu dapat jawatan tetapi ingat kamu juga tidak terlepas. Jangan bawa perangai UMNO dalam parti ini.

“Ini parti rakyat Malaysia, parti pemimpin yang berpijak di bahu anggota, bukan tokan besar beli pemimpin,” katanya.

 


Pengarang :