PBTSELANGOR

Segera perbaharui lesen perniagaan atau berdepan tindakan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 NOV: Semua pemilik atau pemegang lesen perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) digesa supaya memperbaharui lesen perniagaan bagi tahun 2019 mulai 1 November hingga 31 Disember ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pemegang lesen perlu segera berbuat demikian bagi memastikan tidak dikenakan sebarang tindakan penguatkuasaan.

Katanya, denda sebanyak 20 peratus daripada kadar lesen akan dikenakan terhadap pemilik lesen yang membuat bayaran pada 1 Januari hingga 28 Februari 2019.

“Peniaga yang tidak memperbaharui lesen perniagaan mulai 1 Mac 2018 lesen mereka akan terbatal dan perlu membuat permohonan baharu kepada MDKL,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, pemegang lesen turut diingatkan supaya membawa semua dokumen berkaitan bagi memudahkan urusan semasa proses pembaharuan.

“Ia termasuk notis pembaharuan lesen, salinan lesen 2018, gambar berukuran passport, wang tunai/bank draf/kiriman wang/cek, sijil/kad suntikan anti demam, kepialu (untuk lesen restoran, kedai makanan, penjaja dan lain-lain pengusaha makanan), permit polis (untuk menjual barang lusuh, kenderaan terpakai) dan resit pembayaran sewa premis MDKL/pengesahan daripada Jabatan Penilaian MDKL.

“Selain itu, resit pembayaran sewa letak kereta (untuk lesen memberi perkhidmatan tayar dan menjual aksesori kereta), bukti pembelian perangkap minyak (untuk lesen restoran dan kedai makan), menjelaskan apa-apa kompaun (sekiranya ada sebelum membuat bayaran lesen) dan T.O.L terkini/kelulusan bangunan (jika bangunan di atas tanah kerajaan/persendirian).

“Surat pendaftaran daripada Kementerian Pelancongan perlu dikemukakan bagi pembaharuan lesen hotel dan juga sijil/pengesahan Kebenaran Merancang (KM) bagi hotel/tadika/taska/pusat jagaan,” katanya.

Sementara itu, bagi tujuan memperbaharui lesen kilang, beliau turut mengingatkan kepada pemilik atau operator kilang supaya mengepilkan surat lantikan kontraktor bagi tujuan pelupusan sisa pepejal yang diiktiraf MDKL.

Katanya, ia perlu bagi memastikan kilang terbabit melupuskan sisa pepejal di tempat dibenarkan sahaja, sekali gus mengelakkan aktiviti pelupusan sisa kilang secara tidak sah.


Pengarang :