SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Selangor Agrofest 2018 mampu tarik wanita tingkat pendapatan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 3 NOV: Selangor Agrofest 2018 mampu menarik golongan wanita menyertai bidang keusahawanan sekali gus boleh meningkatkan pendapatan mereka, kata EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, beliau tertarik dengan festival berkenaan kerana ia sedikit sebanyak membantunya mencari inisiatif membantu golongan wanita di Selangor terutamanya.

“Saya tertarik dengan Selangor Agrofest kerana jika kita lihat tadi pelbagai demonstrasi seperti memasak, gubahan dan menghias riben membabitkan wanita diadakan yang boleh menjana pendapatan daripada rumah (work from home).

“Oleh itu, golongan suri rumah perlu bijak mengatur strategi menambah pendapatan dengan hanya bekerja daripada rumah dan tidak menjadikan tiada masa sebagai satu alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat gerai pameran pada Selangor Agrofest 2018, di Pentas Utama Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri turut komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan wanita menambahkan pendapatan sejak dahulu lagi.

“Kadang kala kebanyakan wanita mempunyai minat namun tiada modal untuk menjalankan perniagaan, jadi saya amat menggalakkan untuk mereka membuat perniagaan kecil-kecilan seperti menerima upah daripada rumah.

“Daripada situ perniagaan mereka mungkin mampu berkembang ke peringkat yang lebih jauh dan boleh menyertai festival seperti Selangor Agrofest ini,” katanya.

Terdahulu, Selangor Agrofest 2018 yang diadakan selama empat hari sejak Khamis lalu itu turut menampilkan pelbagai gerai pameran membabitkan pertanian dan persembahan demonstrasi.


Pengarang :