SELANGOR

Selangor bangun Pelan Tindakan Aeroangkasa Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya, Invest Selangor kini sedang dalam usaha membangunkan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor dan akan membentangkannya dalam mesyuarat Majlis Aeroangkasa negeri, tahun hadapan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, sehingga kini, sebanyak tiga sesi pencambahan idea diadakan membabitkan UMW Development Sdn Bhd dan Malaysia Airports Holdings Berhad.

“Sesi perbincangan juga diadakan bersama pemainindustri ini terutama Subang, Sepang dan Serendah bagi mendapatkan input berhubung keberkesanan operasi syarikat di kawasan itu serta keperluan mengembangkan pelaburan mereka.

“Sesi itu amat penting bagi Kerajaan Negeri dalam merangka pelan tindakan efektif dan efisien serta memberi kebaikan bukan sahaja kepada pemain industri, malah memberi impak kepada sosial dalam menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkara demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada masa, Chang Khim berkata, beberapa insiatif turut dicadangkan di bawah pelan tindakan berkenaan bagi menggalakkan syarikat Industri Kecil Sederhana untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia membabitkan bantuan geran dalam mendapatkan persijilan dan akreditasi antarabangsa, program pembangunan bersama syarikat multinasional, program perantis dan penyediaan latihan setempat.

Dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019, Kerajaan Negeri komited menjalin kerjasama erat dengan pemain industri antarabangsa bagi merealisasikan hasrat mewujudkan hab aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri turut mengunjurkan RM750 juta dapat dijana menerusi industri aeroangkasa sebaik kilang UMW, di Serendah siap sepenuhnya.

Selangor turut mensasarkan untuk menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dunia dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.


Pengarang :