SELANGOR

Selangor buka tanah baharu, perintis kaedah ‘veggie factory’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Selangor maju setapak lagi di hadapan apabila bersedia membuka tanah baru bagi merintis projek pertanian berteknologi moden yang tidak memerlukan penggunaan tanah yang luas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kaedah yang dinamakan sebagai ‘veggie factory’ atau ‘plant factory’ itu merupakan teknologi yang telah dimulakan dan semakin mendapat tempat dalam kalangan negara-negara maju seperti Jepun, Taiwan dan Negara Eropah termasuk juga di Singapura.

“Konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ akan terus menjadi asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor dan pada ketika ini Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) mula diperkatakan sebagai hala tuju sektor pertanian yang lebih jitu dengan menitik beratkan penggunaan teknologi moden dan menjadi lebih persis sesuai dengan keadaan Selangor yang mempunyai keluasan kawasan amat terhad.

“Bagi mencapai hasrat ini, pembukaan tanah baharu akan terus dilaksanakan tetapi ianya haruslah berkonsepkan pertanian moden dan berteknologi tinggi memandangkan tanah untuk sektor pertanian semakin mengecil atas desakan pembangunan dengan pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian, amalan penggunaan tanah luas untuk menjalankan projek pertanian bukan lagi menjadi amalan khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, Jabatan Pertanian Negeri Selangor telahpun memulakan langkah awal berorientasikan IR4.0 dengan melaksanakan penyelidikan.

Katanya, penyelidikan projek perintis berkenaan membabitkan penggunaan kaedah penanaman secara tertutup yang tidak melibatkan tanah subur dan luas serta penggunaan cahaya matahari yang maksimum.

Katanya lagi, kaedah penanaman yang menggunakan sistem pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) sebagai media fotosintesis dan mampu mempercepatkan tempoh tuaian hasil.

“Penggunaan teknologi ini juga mampu menghasilkan tanaman makanan yang berkualiti, segar dan selamat dimakan dengan pengawalan cahaya, karbon dioksida, kelembapan suhu, kebersihan ruang dan sistem pengudaraan yang baik kerana ianya dibuat dalam persekitaran yang terkawal atau secara penanaman dalaman,” katanya.

=EZY=


Pengarang :