SELANGOR

Selangor catat kes cerai tertinggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor mencatatkan angka tertinggi dalam kes perceraian membabitkan umat Islam dengan 11,297 kes direkodkan pada 2014.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain berkata, Selangor mendahului dengan diikuti Sabah 7,421 kes dan Johor 5,871 kes perceraian.

“Angka ini terus meningkat menjadi 63,463 kes jumlah cerai pada 2015, iaitu Selangor negeri tertinggi dengan jumlah 11,873 kes diikuti Sabah yang mencatatkan 8,272 kes manakala Johor 4,700 kes.

“Manakala, dari 2015 sehingga tahun lalu, perceraian di Selangor mencatatkan peningkatan dengan jumlah 37,600 kes,” katanya.

Katanya, Selangor mencatat jumlah tertinggi rata-ratanya bukan daripada rakyat negeri itu sendiri, namun disebabkan kebanyakan yang tinggal di Selangor hadir dalam kalangan rakyat negeri lain.

Mengulas lanjut, antara punca utama berlakunya kes perceraian, Mohammad Adib berkata, ia disebabkan oleh masalah kewangan dan kurang kesefahaman antara pasangan.

Manakala, menyentuh soal usia, katanya, mengikut penyelidikan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia usia yang sering berlaku kes perceraian adalah antara 30 hingga 45 tahun.


Pengarang :