SUKANKINI

Selangor, Kuala Lumpur bakal berentap pada final wanita Piala Tun Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Juara bertahan, Selangor bakal berentap dengan Kuala Lumpur pada aksi final kategori wanita Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak, esok setelah kedua-dua pasukan berkenaan mengatasi lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-0 hasil pukulan sudut penalti Liyana Aqilah Mohd Sepawi pada minit ke-24 dan kapten pasukan, Nurul Safika Mat Isa (minit ke-44) serta gol padang Nur Iman Shahiera Bedrul Hisam pada minit ke-53.

Kuala Lumpur pula terpaksa bergelut sebelum menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-3 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Pada perlawanan berkenaan, ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan Aishah Zulkifli sebelum Qasidah Najwa Muhd Halimi menyamakan kedudukan untuk Kuala Lumpur menerusi gol padang pada minit ke-15.

Gol tersebut nyata menyemarakkan semangat pemain Kuala Lumpur yang berjaya meledak dua gol padang pada minit ke-20 dan minit ke-21, menerusi dua pemain kebangsaan, Nur Zafirah Aziz dan Norazlin Sumantri.

ATM bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Nur Syuhada Suhaimi pada minit ke-30, sebelum Hazatul Hudzra Abd Razak meledak gol keempat untuk Kuala Lumpur hasil gol padang pada minit ke-33.

ATM tidak berputus asa dan berjaya meraih gol ketiga menerusi gol padang Siti Rahmah Othman pada minit ke-55, namun ia gagal menghalang Kuala Lumpur daripada mengesahkan kemaraan ke final.

Pulau Pinang dan ATM yang kalah pada aksi separuh akhir, bakal membuat perhitungan untuk penentuan tempat ketiga/keempat, esok.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan saingan di tempat kelima kategori wanita setelah berpesta gol dengan membelasah Terengganu 11-0 pada perlawanan penentuan kelima/keenam.

Dalam kategori lelaki, Johor menang besar 6–1 ke atas Pulau Pinang pada aksi penentuan kelima /keenam Divisyen Satu manakala Kelantan mengalahkan pasukan jemputan, Singapura 4-2 pada aksi penentuan kelima/keenam Divisyen Dua.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :