SELANGOR

Selangor kurangkan defisit belanjawan 17 peratus

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri mengurangkan defisit belanjawannya sebanyak 17 peratus daripada RM870 juta dalam Belanjawan Selangor 2018 kepada defisit RM360 juta bagi Belanjawan Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah ini diambil berdasarkan unjuran yang realistik di samping pelbagai faktor semasa yang mempengaruhi kewangan negeri.

“Kerajaan Negeri bukan dapat hasil daripada memetik bintang di langit tetapi daripada hasil daripada unjuran realistik tetapi kadang kala ada sedikit kelewatan atas faktor yang saya sebutkan tadi .

“Selain itu juga antaranya faktor pilihan raya pada 2018 yang menyebabkan beberapa keputusan tertangguh, dan selepas pilihan raya berlaku pertukaran jabatan, CEO dalam anak syarikat Kerajaan Negeri yang memerlukan proses tertentu sebelum pertukaran boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah menilai semula program Kerajaan Negeri bagi memperkasakan golongan B40.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini kurang menggunakan rizab negeri ekoran dasar perbelanjaan berhemah yang diamalkan.


Pengarang :