NASIONALSELANGOR

Selangor Masa Hadapan Malaysia pacu ke Putrajaya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Slogan ‘Selangor Masa Hadapan Malaysia’ menjadi realiti apabila kecemerlangan di negeri itu berjaya memacu KEADILAN ke Putrajaya.

Perwakilan Selangor, Nurainie Haziqah Shafii berkata, dalam memperkatakan mengenai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pastinya nama Selangor tidak lari disebut.

Katanya, ia dapat dibuktikan dengan kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sebagai Ahli Dewan Negeri selama 10 tahun dan menjadi Exco selama empat tahun menjadi sandaran KEADILAN diperkukuhkan.

“Ini dapat diterjemah dari pertambahan bilangan ahli KEADILAN di Selangor.

“Selangor mencatatkan kemenangan 100 peratus KEADILAN. Sembilan kerusi Parlimen dan 21 Kerusi DUN menjadi milik KEADILAN.

“Kemenangan 100 peratus ini sudah tentu berlandaskan kecekapan jentera parti yang tidak kenal penat lelah serta kecemerlangan Majlis Pimpinan Negeri Selangor di bawah kepimpinan, Dato Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraidah Kamaruddin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perwakilan bagi negeri Selangor di Kongres Nasional KEADILAN Ke 13, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Nurainie Haziqah berkata, selepas Jun 2018, keahlian KEADILAN di Selangor mencatatkan peningkatan yang membanggakan dari 177,000 ahli kepada 240,000 ahli.

Katanya, peningkatan 63,000 ahli adalah bukti penerimaan masyarakat terutamanya golongan muda dengan KEADILAN.

“Kesinambungan kecemerlangan Selangor akan terus diterjemah dengan kebijakan yang mengutamakan nasib rakyat oleh kepimpinan yang baharu,” katanya.


Pengarang :