SELANGOR

Selangor raih ‘Destination of The Year’ MTC 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor berjaya meraih ‘Destination Of TheYear’ pada Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2018 di Palace of The Golden Horses, Sri Kembangan, baru-baru ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya gembira apabila Selangor diiktiraf menerima anugerah berkenaan oleh MTC.

“Ini adalah hasil komitmen semua untuk menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelancongan yang unggul ditambah pula pelbagai tawaran unik.

“Malah, jumlah pelancong ke Selangor semakin meningkat setiap tahun, sekali gus membolehkan negeri ini mendapat pendedahan lebih besar bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Noorul Ashikin berkata, anugerah itu sekali gus mempamerkan beberapa contoh terbaik Kerajaan Negeri yang banyak memberi tumpuan terutama daripada segi meningkatkan pelancongan mampan.

Katanya, juri turut menilai daripada segi promosi pelancongan, statistik tahunan kedatangan pelancong, bukti kepuasan pelancong dan pelarasan aktiviti yang memberi kepuasan terhadap pelancong.

Tahun lalu, Selangor berjaya menyumbang 7.4 juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan hasil RM5.4 bilion.

Terdahulu, pada acara berprestij itu, lebih daripada 80 anugerah diberikan kepada syarikat dan individu termasuk Anugerah Emas ‘Tourism Icon of the Year’ untuk Hotel lima Bintang.


Pengarang :