SUKANKINI

Selangor sasar 20 emas Para SUKMA XIX Perak 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 NOV: Kontinjen Selangor bersedia memberikan cabaran dan meletakkan sasaran memperbaiki kedudukan pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018.

Dalam edisi yang bakal berlangsung pada 21 hingga 28 November ini, Selangor mensasarkan kutipan pingat 20 emas, 16 perak dan 10 gangsa.

Pemangku Pengurus Eksekutif MSN Selangor, Nizam Marjugi dalam ucapan yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif kepada para atlet yang berjaya membawa pulang pingat selain hadiah tambahan jika memenangi sebarang anugerah khas.

“Insentif bakal menanti semua atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa serta imbuhan tambahan jika mendapat anugerah khas.

“Insentif bukanlah keutamaan tetapi diharapkan para atlet mempamerkan kesungguhan untuk meraih kejayaan buat Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor, Para SUKMA XIX, Perak 2018 di Dewan Aster, Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Majlis ini merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Sukan dan Rekreasu Orang Kurang Upaya (PESRON) Negeri Selangor.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Sabran Abd Bahar akan bertindak selaku Ketua Kontinjen Negeri Selangor.

Dalam edisi di Sarawak dua tahun lalu, kontinjen Negeri Selangor berjaya menduduki tangga kesembilan keseluruhan selepas meraih 16 emas, 15 perak dan 17 gangsa.

Selangor yang tampil dengan 110 atlet serta 51 pegawai bakal menyertai semua 10 acara antaranya badminton, catur, memanah, renang dan tempin boling.


Pengarang :