SELANGOR

Selangor sasar naik taraf MPSJ kepada Bandaraya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri tekad meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan dengan mengambil pelbagai langkah pada tahun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antara langkah diambil dengan mensasarkan menaik taraf Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya dan dua Majlis Daerah lain dinaikkan kepada Majlis Perbandaran.

“Kerajaan Negeri mensasarkan dua Pihak Berkuasa Tempatan untuk dinaiktaraf dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat. Manakala peningkatan status dari MPAJ kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya.

Amirudin berkata, selain menaik taraf PBT, bagi agenda memperkasakan Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) di bawah Peraturan-Peraturan Tetap 1965 telah meluluskan penubuhan sembilan Jawatankuasa Pilihan / Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Penggal Keempat Belas.

Langkah ini bertujuan memastikan Pembangunan Smart Selangor dilaksanakan dengan telus dan berintegriti seperti mana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) dan lain-lain.

Katanya, selain itu Sistem Smart Hadir turut diperkenalkan bagi tujuan merekodkan kehadiran dan keberadaan semua peringkat daripada Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri, Pegawai Kanan Kerajaan, Pegawai Bertugas hingga Pekerja Am.

Katanya, pemantauan kehadiran ini dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak dingini berlaku.

“Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Negeri juga telah bersetuju hanya satu laluan utama sahaja dibuka sepanjang persidangan berlangsung dan penambahbaikan kepada sistem akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya lagi.


Pengarang :