SELANGOR

Selangor sokong beku akaun suami enggan bayar nafkah

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 14 NOV: Kerajaan Negeri menyokong cadangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf berkenaan pembekuan akaun bank bekas suami yang enggan membayar nafkah.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama institusi perbankan dan majikan si pembayar nafkah.

“Saya yakin apabila akta ini diwujudkan, mahkamah syariah mengeluarkan perintah, sekali gus mereka (majikan dan bekas suami) tidak boleh mengabaikan perkara berkenaan.

“Ini adalah cara terbaik untuk mengajar bekas suami dan sudah pasti mereka membayar juga nafkah itu bagi mengelak pembekuan akaun bank,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah: Ketahui Hak Anda, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut menekankan bayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak adalah wajib, malahan berdosa jika diingkari.

“Jika diikut daripada segi perundangan, kita akan dianggap zalim jika tidak mewujudkan mekanisme tertentu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

 

 


Pengarang :