SELANGOR

Selangor tanggung kos perubatan anggota bomba diserang perusuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 27 NOV: Kerajaan Negeri akan menangung sepenuhnya kos perubatan seorang anggota bomba yang diserang perusuh, di Kuil Sri Maha Mariamman, pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau turut bersedih dengan kejadian menimpa Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang diserang sehingga terpaksa menerima bantuan alat pernafasan.

“Saya dapati keadaan mangsa kritikal dan amat berharap supaya keluarga mangsa bersabar. Difahamkan beliau ke tempat kejadian untuk tugas memadamkan kebakaran tetapi sebaliknya diserang individu tidak bertanggungjawab.

“Saya menzahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap kejadian ini,” katanya selepas melawat mangsa di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid.

Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Negeri kini sedang memfokuskan isu keselamatan bagi menangani permasalahan itu.

“Saya mahu tahap keselamatan ditingkatkan sepenuhnya dan untuk itu, saya memanggil Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri petang ini khusus bagi membincangkan langkah seterusnya.

“Saya menggesa semua pihak supaya menghentikan tindakan mengeluarkan kenyataan yang akan memburukkan lagi keadaaan dan bekerjasama bagi mengembalikan ketenteraman awam serta memastikan keadaan terkawal,” katanya.

Muhammad Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera diserang perusuh, pada jam 1 pagi di Kuil Maha Mariamman.

Beliau diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi sebaik mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

 


Pengarang :