SELANGOR

Selenggara longkang elak banjir kilat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 3 NOV: Bagi mengelakkan kejadian banjir kilat sepanjang perayaan Deepavali kali ini, longkang dan parit diselenggara dengan kadar segera.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor menyelenggara longkang dan parit luar di Taman Rajawali.

Katanya, beliau turut meminta pemasangan ‘blinkers’ dibuat bagi kawasan Bukit Rotan gara-gara jalan yang terlalu gelap.

“Pemasangan ini terpaksa dibuat semula kerana sebelum ini ia telah dicuri, difahamkan sebanyak tujuh unit ‘blinkers’ telah dicuri pada waktu itu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil peralatan atau perkakasan keselamatan trafik disepanjang jalan ini kerana ianya boleh membahayakan pengguna jalan raya jika berlaku kecurian.

“Semoga semua penduduk Kuala Selangor yang menyambut Deepavali dapat berhari raya dalam keadaan tenang dan selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Melalui laman web rasmi Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), kawasan pantai di Selangor diramalkan mengalami hujan di satu dua tempat pada waktu pagi.

Selain negeri ini, kawasan pantai negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak (Bahagian Mukah, Bintulu dan Miri) dan Sabah (Bahagian Kudat, Sandakan dan Tawau) turut diramalkan cuaca yang sama.

 


Pengarang :