Seperti apakah rasanya pizza? | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Seperti apakah rasanya pizza?

Oleh Haniff Yusoff

 SAYA masih terkenangkan kata-kata Naim suatu ketika dahulu, di bawah pohon jambu air yang selalu sahaja membasahkan tekak kami selepas lelah berkejaran ke sana-sini mengisi perwatakan sebagai kanak-kanak. Kata Naim, “pohon jambu air ini selalu menemani petang hari kita dan pohon jambu air ini sudah merakam beribu-ribu, mungkin berjuta-juta patah kata yang kita luahkan.” Saya menganguk, mempersetujui kata-kata Naim ketika itu. Memang benar, pohon jambu air ini bukan sekadar berbudi menghilangkan kehausan kami, malah pohon jambu air ini menjadi saksi segala perbualan kami tentang kesukaan kami, tentang ragam rakan-rakan di sekolah kami, tentang gelisah kami hendak ke kelas mengaji dan juga tentang tulus persahabatan kami.

Naim ialah watak sahabat baik saya ketika saya dalam lingkungan usia lima hingga tujuh tahun sebelum Naim sekeluarga berhijrah meninggalkan desa kami. Setiap kali berada di bawah pohon jambu air yang begitu nostalgik ini, segala percakapan Naim kembali menemani. Saya terasa Naim masih ada, menunggu saya di bawah pohon jambu air pada setiap petang dan ketika saya betul-betul merindukannya, Naim hadir tanpa jasad menuturkan bait-bait nasihat. Sebetulnya, saya lebih muda daripada Naim dan selalunya Naim akan bertindak sebagai seorang abang yang suka melarang dan juga melindungi.


Pada suatu petang, Naim tidak muncul-muncul di bawah pohon jambu air yang kian merimbun dengan buah-buahnya. Saya tahu Naim tidak keluar ke mana-mana apatah lagi seliparnya tersusun kemas di ruangan rak kasut. Kereta Volvo putih milik ayahnya juga ada diparkir di sisi rumah mereka.

Saya mengintai keadaan ruang tamu rumah Naim dari atas pohon jambu air secara tidak sengaja. Ketika sedang menikmati jambu air yang tidak pernah kami jemukan, saya melihat kelibat Naim dan keluarganya sedang menikmati pizza di ruang tamu rumah mereka. Dan ketika itu, saya pun tertanya-tanya dalam hati bagaimanakah rasanya makanan yang dipanggil pizza itu? Saya tidak berlama-lama bergayut di atas pohon jambu air, lalu bergegas pulang mencari jawapan.

Ketika sedang mandi sebelum waktu menginjak Maghrib, dan ketika air pun menyiram seluruh tubuh, saya masih terfikir, bagaimana rasanya pizza. Persoalan yang satu itu berlegar-legar di dalam fikiran tanpa sudah sehinggalah saya terdengar suara ibu dari dapur yang menyuruh saya segera menghabiskan mandian, memandangkan azan Maghrib sudah berkumandang. Saya lekas-lekas bersiap, menyimpan persoalan sedari petang itu dalam kocek baju Melayu saya.

Mata saya tidak berkedip memandang siling asbestos di dalam bilik. Bunyi dengungan angin dari kipas betul-betul dapat didengari telinga capang saya. Suasana malam yang begitu aman, tetapi fikiran saya masih tidak tenteram. Saya masih memikirkan bagaimanakah rasanya pizza. Adakah rasanya seperti mi goreng yang dijual di Restoran Mee Abu yang terletak di Jalan Sultanah, Alor Setar?

Saya lihat ibu belum tidur dan sedang membaca surat khabar di ruang tamu, saya terus mendapatkan ibu. “Ibu, pizza tu rasanya macam mana ya?”

“Harga pizza tu mahal, nak. Orang kaya-kaya sahaja yang memakannya.”

Keesokan harinya, saya ke sekolah bersama Naim seperti biasa. Saya akan menumpang basikal yang ditunggangi Naim. Sejak Naim mempunyai basikal, saya tidak perlu lagi berkejar-kejar untuk ke sekolah pada awal pagi. Naim akan mengayuh dengan tidak terlalu laju dan kami menikmati udara pagi yang dingin yang mengusap-ngusap wajah kami.

Ketika Naim asyik mengayuh basikal, saya bertanyakan soalan yang begitu mengganggu kehidupan saya sehari dua itu. “Naim, pizza tu rasanya bagaimana ya?”

Naim tidak memberikan jawapan, sebaliknya mengayuh basikal dengan lebih laju. Kami ke kelas masing-masing dan persoalan saya bergentayangan di mana-mana tanpa sebarang jawapan. Naim melangkah laju menuju ke bangunan kelasnya, dan saya mengatur langkah bertentangan dengan Naim memadangkan kelas saya berhampiran sahaja dengan bangsal tempat meletak basikal pelajar.

Ketika loceng berbunyi nyaring, saya nampak kelibat Naim dari jendela. Naim lekas-lekas mengayuh basikal meninggalkan perkarangan sekolah. Ya, Naim meninggalkan saya dengan mata terkebil-kebil, yang masih berada di dalam kelas.

“Adakah Naim marah tentang pertanyaan saya pada pagi tadi?”

“Naim sudah mempunyai sahabat baharu, lalu memilih untuk melupakan saya yang tidak pernah merasai keasyikan menikmati pizza?”

Begitukah? Syaitan menghasut saya dengan bermacam prasangka ketika saya mengatur langkah satu persatu pulang ke rumah.

Petang itu, saya juga tidak nampak kelibat Naim, basikalnya juga tiada. Saya seakan-akan mahu mengeyakan segala anggapan yang kian tumbuh melata di kepala. Mungkin Naim sudah mempunyai sahabat baharu dan pohon jambu air yang memayungi saya ini hanya kenangan yang menjadi perhiasan dalam muzium memori.

Ketika saya betul-betul hendak meninggalkan pohon jambu air dengan segala kepasrahan, Naim memanggil nama saya dengan begitu kuat dari kejauhan.

“Anep, jom kita makan pizza!”

Saya betul-betul terkedu. O Tuhan, saya berdosa mendengar bisik-bisik syaitan. Sebenarnya, selepas waktu persekolahan, Naim mengayuh basikalnya menuju ke pekan kerana  mahu melihat harga pizza yang ada. Kemudian, Naim terus pulang ke rumah dan mengambil duit tabungnya untuk kembali ke pekan dan membeli pizza. Petang itu, kami menikmati pizza bersama-sama di bawah pohon jambu air. Hati saya terasa sebak, saya tahu bukan kerana akhirnya saya dapat menikmati Pizza, tetapi kerana Tuhan yang Maha Baik mengirimkan seorang abang yang baik kepada saya.

Setelah berbelas-belas tahun, pohon jambu air ini masih ada, cuma tidak seperti dahulu merimbun dengan buahnya. Saya kembali ke sini dan terkenangkan Naim yang mungkin masih mengingati saya atau sudah melupakan saya. Saya tidak pasti, kerana saya sudah tidak lagi menghubunginya, apatah lagi bertemu dengannya selepas Naim sekeluarga berpindah.

Kalaupun seorang Naim membaca narasi ini, ketahuilah bahawa persahabatan kita lebih terasa nikmatnya sekalipun jika dibandingkan dengan pizza yang tersedap di dunia. Saya benar-benar merindukan kebaikannya!

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next