PELANCONGANSELANGOR

Serendah Eco Run 2018 potensi jadi produk pelancongan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 NOV: Serendah Eco Run 2018 yang berlangsung di Telaga Tujuh Serendah, Sabtu lalu bermula dari jam 7 pagi sehingga 1 petang berjaya menarik 700 peserta dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Junior, Novice dan Master.

Bertemakan ‘Sihat Bersama Alam Sekitar’, acara dimulakan dengan senamrobik dan simbolik perasmian serta pelepasan acara larian disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Loew dengan paluan gong.

Muhammad Maktum Samsudin dari Sungai Buloh menjadi peserta paling bertuah apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah, iaitu motosikal SYM 110, pada acara yang turut dimeriahkan dengan aktiviti jualan produk tempatan dan makanan, perduan mewarna kanak-kanak, busking serta tarik tali.

Hadir sama Pengerusi COMBI Daerah Hulu Selangor, Zainal Abidin Mohd Tulus; Marshiryandi Maselan dari Komuniti Serendah; Penghulu Mukim Serendah, Rusmi Minhat serta COMBI MTB Serendah Team Cycling selaku wakil penganjur.

June dalam ucapannya gembira dengan pemilihan kawasan Telaga Tujuh sebagai lokasi pelepasan larian dan berharap program riadah itu mendapat perhatian dari pihak pelancongan untuk dimajukan.

Dalam majlis sama, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohmed Razip Hassan turut merakamkan penghargaan kepada semua penganjur yang bekerjasama menjayakan program itu dan menyifatkan ia berpotensi dimasukkan ke dalam kalender pelancongan.

“Saya merasa bertuah berada di sini kerana Serendah adalah pekan yang mempunyai pelbagai cerita dan tapak sejarah yang masih terdapat lagi di sini.

“Hampir 65 peratus peta topografi Serendah diliputi kehijauan hutan flora dan fauna yang menggamit ketenangan. Semoga Serendah juga akan terkenal, di Malaysia dan dunia selepasa penganjuran yang amat berjaya ini.

“Saya harap program ini dapat diteruskan lagi kerana berpotensi sebagai agenda pelancongan domestik dan dimasukkan dalam aturcara kalendar pelancongan,” katanya.

Mohmed Razip turut dibawa melawat ke Tasek Kebun Resort yang menjadi antara lokasi menarik bagi aktiviti percutian bersama keluarga.


Pengarang :