Selangorkini
NASIONAL

Sertai DFTZ, usahawan IKS mampu pasar produk peringkat global

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 15 NOV: Kerajaan menggalakkan penyertaan lebih besar dari kalangan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), supaya produk keluaran mereka dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, usahawan IKS diseru merebut peluang dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan modal insan demi perkembangan perniagaan juga kemajuan negara di peringkat global.

“Kita perlu mengikuti perkembangan teknologi terbaharu atau mengalami risiko ketinggalan dalam industri diceburi.

“Perniagaan dalam talian menjadi satu kebiasaan kerana penggunaan teknologi digital merangkumi semua peringkat masyarakat dan perdagangan membabitkan IKS mengalami perubahan pantas menjadi sebahagian daripada ekonomi digital.

“Setakat ini terdapat kira-kira 3,300 usahawan IKS menyertai platform DFTZ sejak dilaksanakan tahun lalu dan ia satu petanda baik,” katanya dalam majlis perasmian Sidang Kemuncak TMEF SME Tech 2018 – KL Grand Finale.

Turut hadir, Pengasas dan Presiden TMEF, Ng Eng Heng serta Naib Presiden TMEF, Amy Loo.

Beliau berkata, adalah dijangka ekonomi Internet Asia Tenggara (Southeast Asia Internet) akan berkembang dari AS$50 bilion hingga AS$250 bilion dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang dan usaha kerajaan menggerakkan Koridor Raya Multimedia pada 1996 adalah tepat dengan menjadikan Malaysia maju dan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan itu.

“E-dagang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat sebanyak 6.1 peratus atau RM74.6 bilion pada 2016 berbanding 5.9 peratus atau RM68.3 bilion pada 2015.

“Ia adalah salah satu industri paling pesat berkembang di Asia Tenggara dan diramal mencatat peningkatan dari AS$10 bilion pada 2017 kepada AS$88 bilion menjelang 2025,” katanya.

Gobind berkata, sebagai sebuah negara terbabit dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia dengan kepelbagaian dimiliki, membuktikan dengan kejayaan diperoleh dalam pelbagai bidang diceburi.

Katanya, kepelbagaian itu memberikan pengetahuan unik dan praktikal juga membolehkan rakyat memajukan diri dengan selesa di arena antarabangsa.

“Rakyat Malaysia mempunyai kelebihan ini dan telah menjadi mahir dalam memahami keperluan pelanggan dari pelbagai budaya dan latar belakang,” katanya.


Pengarang :