SELANGOR

Shah Alam Half Marathon 2018 tarik 8,000 peserta

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 NOV: Shah Alam Half Marathon 2018 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menarik 8,000 peserta, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 18 November lalu

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kebanyakan peserta terlibat terdiri dari negara Kenya, Nigeria, Australia, Indonesia, Thailand, dan Singapura.

“Larian itu adalah inisiatif MBSA untuk menggalakkan gaya hidup sihat selain memupuk semangat kesukanan dalam melahirkan individu sihat cergas.

“Shah Alam Half Marathon 2018 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM21,000, sijil dan medal kepada pemenang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 21 kilometer (km) Lelaki Terbuka; Lelaki Veteran (40 tahun ke atas); Wanita Terbuka dan Wanita Veteran (40 tahun ke atas); 10 km Lelaki Terbuka; Lelaki Veteran (40 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka; Wanita Veteran (40 Tahun ke atas) serta 5 km (Fun Run) untuk Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka.

Antara pemenang bagi kategori 21 km Lelaki Terbuka dimenangi Elly Kiptarbei Yego dari Kenya mendapat tempat pertama dan menerima wang tunai RM800; Ndiritu John (Kenya) tempat kedua menerima wang tunai RM600 dan Azrizal Hussin (Malaysia) mendapat tempat ketiga menerima wang tunai RM500.

Acara ini turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi seperti Tourism Selangor, PKNS Real Estate, SACC Mall, dan Polis Diraja Malaysia.

Majlis Pelepasan Program Shah Alam Half Marathon 2018 itu disempurnakan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, MBSA komited melaksanakan program sukan di Shah Alam untuk memberi peluang kepada remaja supaya bergiat aktif dalam aktiviti sukan dan menjalani gaya hidup cergas.

“Antara aktiviti sukan dianjurkan MBSA secara tahunan adalah seperti bola sepak, futsal, bola tampar dan basikal,” katanya.

Shah Alam Half Marathon 2018 Flag-Off moments

Thank you everyone, you are truly a champion!#shahalamhalfmarathon2018#raceforthechampions

Posted by Shah Alam Half Marathon on Tuesday, 20 November 2018

 


Pengarang :