SELANGOR

Sijil MyGAP bukti sumbangan petani dihargai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 2 NOV: Persijilan MyGAP dan MyOrganic kepada penggiat sektor pertanian, khususnya petani jelas membuktikan segala jerih perih dan sumbangan mereka selama ini benar-benar dihargai.

Salah seorang penerima Sijil MyGAP, Yahya Jali, 53, menzahirkan rasa bangga dan bertuah kerana segala usaha bersama rakan-rakan yang turut mengerjakan sawah padi dan tanaman lain selama ini membuahkan hasil apabila menerima sijil pengiktirafan berkenaan.

Katanya, dia mengusahakan tanaman padi sejak 1997 di bawah bimbingan Jabatan Pertanian dan beberapa institusi lain.

“Mereka banyak membantu kami terutama dalam meningkatkan pendapatan petani di Selangor, malah mereka juga yang memaklumkan tentang kelayakan golongan petani untuk sijil MyGAP.

“Sudah tentu saya akan mengajak lebih ramai rakan-rakan lain untuk turut mendapatkan sijil ini, sekali gus memberi kesedaran kepada mereka supaya menitikberatkan aspek penjagaan kawasan tanaman atau ladang dengan baik,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di sini, semalam.

Yahya yang mengerjakan tanaman padi di Pasir Panjang, Sekinchan juga berharap Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pertanian meneruskan usaha sedemikian pada masa akan datang kerana ia mampu memberi semangat baharu buat petani untuk terus menyumbang ke arah pembangunan pertanian.

Menyentuh soal pendekatan diambil untuk melayakkannya mendapat sijil berkenaan, Yahya mengakui dirinya lebih berdisiplin ketika menjalankan aktiviti di sawah, selain turut mematuhi peraturan disyorkan Jabatan Pertanian, terutama melibatkan penggunaan racun.

Katanya, racun digunakan untuk tanaman juga mengikut sukatan dan kelulusan jabatan supaya produk melalui hasil tanaman itu melepasi piawaian ditetapkan sekali gus mudah dipasarkan.

“Saya memang mengikut peraturan diberi oleh jabatan, malahan botol-botol racun yang sudah dipakai saya tidak buang merata-rata, sebaliknya saya akan kumpul dan hantar ke tempat khas disediakan Jabatan Pertanian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Sijil MyGAP, Shahrul Efandy, 30, berkongsi rasa sama dan berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Selangor kerana banyak memberi suntikan semangat dan inspirasi mengerjakan tanaman padi.

Shahrul yang mula menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak 12 tahun lalu turut bersyukur atas bantuan diberi oleh jabatan berkenaan seperti kemudahan mesin untuk menjalankan kerja pengepaman air ke sawah.

“Ada sesetengah petani tidak mampu membeli mesin kerana harganya mahal, jadi kemudahan yang disediakan ini amat membantu memudahkan kerja kami di sawah yang secara tidak langsung meningkatkan jumlah pengeluaran produk melalui bidang pertanian,” katanya.

Mereka antara 326 petani dari seluruh Selangor yang menerima Persijilan MyGAP dan MyOrganic sempena Selangor Agrofest 2018, di Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Sijil itu disampaikan EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hasim.

 

 


Pengarang :