SELANGOR

Sindiket jual sijil kebersihan palsu berharga RM500 disiasat

OLEH NAZLI IBRAHIM

CHERAS, 19 NOV: Satu sindiket menjual sijil kebersihan palsu berharga RM500 dikesan di sekitar Bandar Mahkota Cheras.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, setakat ini Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berjaya mengesan kira-kira 15 hingga 20 peniaga di kawasan itu didapati memiliki sijil palsu terbabit.

“Luar kawasan Bandar Mahkota Cheras juga ada tetapi paling banyak di sini di mana ada lebih kurang 15 ke 20 yang dibeli peniaga di sini.

“Saya harap peniaga tidak mudah terpedaya dengan membeli sijil palsu yang kononnya dikeluarkan oleh MPKj,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Kawalan Tikus di Kawasan Komersial, Bandar Mahkota Cheras 2018 di sini, hari ini.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang itu berkata, kes ini kini berada dalam siasatan pihak polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), MPKj, Mohammad Izzuddin Ramli berkata, MPKj turut menjalankan pemeriksaan kebersihan terhadap premis yang membeli sijil palsu itu.

“MPKj tidak mempunyai kuasa bertindak ke atas pembeli sijil di atas kesalahan jenayah kerana ia di bawah bidang kuasa polis.

“Apa yang MPKj boleh lakukan adalah menjalankan pemeriksaan kebersihan di premis terbabit dan sekiranya premis mereka menepati piawaian ditetapkan, MPKj sendiri mengeluarkan sijil kebersihan yang asli,” katanya.

Katanya, berbanding sijil palsu yang dikenakan bayaran sehingga RM500, sijil kebersihan tulen dikeluarkan MPKj tidak dikenakan bayaran, sebaliknya peniaga hanya perlu memastikan tahap kebersihan premis masing-masing berada di tahap terbaik.


Pengarang :