GLOBAL

Singapura mansuhkan tol motosikal di Tuas

SINGAPURA 6 NOV: Orang ramai terutama penunggang motosikal akan dikecualikan daripada tol S$0.40 sen di tempat pemeriksaan Tuas sejajar dengan keputusan Malaysia untuk memansuhkan tol di Linkedua pada tahun hadapan.

Memetik seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan (MOT), The Straits Times dilaporkan berkata bahawa kementerian berkenaan sedia maklum dengan langkah Malaysia untuk menamatkan tol motosikal di Linkedua itu mulai 1 Januari.

 

“Sekiranya Malaysia mengurang atau membatalkan bayaran tol motosikal di Linkedua itu, Singapura akan menyesuaikan kadar tol yang dikaji semula oleh Malaysia,” demikian jurucakap itu dipetik sebagai berkata.

Menurut MOT dasar sekian lama Singapura adalah menyesuaikan kadar tol dengan Malaysia.

“Ini mencerminkan ciri perkongsian Linkedua,” kata jurucakap kementerian berkenaan.

Ketika Belanjawan 2019 dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa tol untuk motosikal di Linkedua, Johor akan dimansuhkan mulai 1 Jan, 2019.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari berkata, purata 40,000 penunggang motosikal mengguna Linkedua setiap hari.

Pasa masa sekarang, penunggang motosikal membayar tol RM1.10 di laluan Linkedua Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :