SELANGOR

Sistem saliran bendang Sabak Bernam perlu perhatian serius

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 5 NOV: Masalah sistem saliran bendang yang membelenggu pengusaha padi sejak sekian lama diharap mendapat perhatian serius agensi kerajaan dan pihak berwajib, di daerah itu.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, usul itu antara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya dapat memanjangkan masalah berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap masalah yang timbul, khususnya kepada petani di kawasan terbabit.

“Sistem saliran air di terusan utama tidak dapat disalurkan ke seluruh kawasan bendang dan ia memberi kesan kepada sesetengah petani yang tidak dapat menanam padi seperti dijadualkan.

“Keadaan bertambah sukar apabila pengusaha padi terpaksa mengepam saliran air sendiri daripada parit lebih besar untuk disalurkan ke sawah mereka.

“Perkara itu turut membebankan mereka untuk menanggung kos pam yang begitu besar,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, mekanisme baharu yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan segera oleh JPS termasuk agensi Integrated Agriculture Development Authority (IADA).

“Kemungkinan mereka masih menghadapi kekurangan daripada segi teknikal, perincian tanah, pam air dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita berharap masalah ini akan dapat diselesaikan bersama JPS nanti,” katanya.

Katanya, isu lain yang juga perlu diberi perhatian khusus adalah kemudahan infrastruktur seperti masalah jalan raya yang berlubang sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.


Pengarang :