SELANGOR

SITEC-SDCC terima anugerah status Digital Hub

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 NOV : Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) menerusi Selangor Digital Creative Centre (SDCC) berjaya merangkul anugerah status Digital Hub oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Perkara itu diumumkan pada sesi Sidang Media yang diadakan di lobi Dewan Negeri Selangor, petang semalam.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengucapkan tahniah di atas pencapaian yang diterima agensi terbabit.

Beliau berkata, ia adalah pengiktirafan cemerlang diterima agensi terbabit yang baharu beroperasi lebih tiga tahun.

“Kerajaan Negeri begitu agresif sejak tempoh tiga tahun lalu untuk mencari inisiatif baharu khususnya berkaitan perniagaan e-dagang.

“Justeru, Kerajaan Negeri menubuhkan SITEC sebagai salah satu peluang dan galakkan kepada masyarakat untuk menerokai atau terlibat khusus dalam bidang e-dagang,” katanya ketika sesi sidang media.

Katanya, dengan kewujudan pelbagai insiatif berunsurkan kreatif, ia sekali gus dapat merealisasikan Selangor ke arah Smart State menjelang 2025.

“Setakat ini, perniagaan dalam talian belum lagi menepati secara keseluruhan justeru SITEC diwujudkan bagi menggalakkan pembudayaan e-dagang dalam kalangan peniaga dan usahawan kecil,” katanya.

SITEC membimbing 425 usahawan kecil dan sederhana dengan jumlah jualan RM10 juta setahun, manakala 50 ‘startups’ dilahirkan menerusi Selangor Accelerator Programme, StartupQuest Selangor Programme dan Smart City Hackathon dalam tempoh tiga tahun ini.

 


Pengarang :