SELANGOR

Skim CERIA: Selangor tanggung sepenuhnya kos baik-pulih

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM10 juta bagi meneruskan Skim CERIA pada 2019 bagi membantu proses baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos rendah dan sederhana berharga RM42,000 hingga RM150,000.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sejak mula dilaksana pada Disember 2010 sehingga setakat Disember 2017, sejumlah 283 kawasan dengan 849 blok pangsapuri telah menerima manfaatnya dengan anggaran kos keseluruhan RM92.2 juta.

“Tiada lagi perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan penduduk memandangkan kos hidup yang semakin tinggi dengan kepayahan penduduk untuk membayar kos tambahan selain daripada caj penyelenggaraan.

“Kos penyenggaraan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa dan ia di luar kemampuan pemilik dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk membuat pembaikan.

“Dari itu, Skim CERIA adalah elemen penyelamat kepada JMB dalam menguruskan kerja-kerja sivil, penyenggaraan lif dan pengindahan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, bantuan Skim CERIA ini meliputi anggaran manfaat melebihi 171,700 unit kediaman dengan rangkuman seramai 858,500 penduduk di pangsapuri-pangsapuri berkenaan.

Amirudin berkata, dengan cadangan ini Kerajaan Negeri berharap penduduk dapat menjaga harta bersama dari vandalisme supaya ia berkekalan untuk tempoh yang lebih panjang selain akan meneruskan elemen-elemen pendidikan dan pemberdayaan komuniti berdasarkan perundangan serta polisi atau dasar sedia ada.


Pengarang :