NASIONAL

SKMM siasat aduan kandungan promosi produk disiarkan Astro Ria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan amaran kepada Astro supaya tidak mengulangi insiden mempromosi produk dengan mempersenda kulit dan raut wajah seseorang.

Amaran itu merujuk kepada promosi produk pada program Konsert Gegar Vaganza 5, baru-baru ini.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan setelah mendapat aduan orang ramai berhubung kandungan promosi produk yang disiarkan melalui saluran Astro Ria itu.

“Pihak Astro telah menghadiri perjumpaan dengan SKMM pada 7 November lalu bagi memberi penjelasan butiran insiden dan tindakan pencegahan serta pembetulan yang diambil.

“Permohonan maaf daripada pihak penaja dan Astro telah dikeluarkan semasa siaran program pada 11 November 2018.

“Sebagai tindakan pencegahan pengulangan insiden, Astro juga telah merkam terlebih dahulu apa-apa segmen yang melibatkan penaja utama bagi program ini,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, Astro selaku pemegang lesen Pembekal Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-i) adalah tertakluk kepada pematuhan Syarat Lesen Khas dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.


Pengarang :