NASIONAL

SKMM: TM terima aduan pengguna tertinggi

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 7,946 kes setakat tahun ini berbanding syarikat penyedia jalur lebar yang lain.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, jumlah aduan TM meningkat 43 peratus berbanding 4,528 kes diterimanya tahun lalu.

SKMM berkata, aduan terhadap TM menguasai pasaran 85.97 peratus memberikan impak kepada rakyat termasuk perniagaan yang kebanyakannya bergantung kepada rangkaian syarikat itu dalam rutin harian mereka.

“Pengguna menuntut perkhidmatan lebih baik untuk bayaran bulanan dibayar kepada TM. Berdasarkan jumlah purata aduan bagi setiap 1,000 pelanggan, TM mencatatkan bilangan aduan tertinggi berbanding dengan penyedia perkhidmatan lain.

“Aduan itu termasuk ketidakpuasan mengenai caj yang dikenakan (21 peratus, liputan UNIFI yang tidak memuaskan (16 peratus), gangguan perkhidmatan UNIFI (13 peratus), pertikaian bil (14 peratus), penyampaian perkhidmatan (14 peratus) serta kategori lain sebanyak 22 peratus.

“Kerajaan melihat penurunan perkhidmatan TM ini sebagai satu perkara yang serius,” katanya dalam kenyataan, semalam.

SKMM berkata, pendekatan pengendalian TM dalam menangani aduan seperti keterbatasan teknikal dan meminta pengguna untuk bersabar adalah tindakan yang tidak wajar.

Suruhanjaya itu berkata, membiarkan pelanggan tanpa penyelesaian yang wajar tidak seharusnya berlaku dalam operasi syarikat bertaraf multinasional seperti TM.

Sementara itu, TM dalam satu kenyataan berkata, sebagai penyedia jalur lebar tetap terbesar negara, pihaknya sentiasa komited meningkatkan pengalaman pelanggan dan sentiasa berinteraksi dengan SKMM berkongsi inisiatif pengalaman pelanggannya.

TM juga mempelawa kerajaan untuk berbincang bagi mencapai keputusan segera untuk memberi manfaat bersama dalam peningkatan kualitinya.

“TM mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan kerajaan dalam menangani cabaran ini,” katanya.


Pengarang :