BERITA UTAMASELANGOR

SLICE18 platform tonjol kreativiti

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Ekspo Inovasi dan Kreativiti 2018 (SLICE18) disifatkan sebagai platform terbaik untuk masyarakat menonjolkan kreativiti masing-masing.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, inisiatif dilaksanakan Universiti Selangor (UNISEL) itu menampilkan pelajar, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan profesional industri.

“Saya kagum dengan penyertaan hampir 200 peserta, pada SLICE18 yang julung kali diadakan dan optimis ia dapat terus diperluas, pada masa akan datang.

“SLICE18 yang mendapat kerjasama strategik Kerajaan Negeri ini juga dilihat mampu menjadi pameran penyelidikan dikenali ramai di peringkat negeri dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup SLICE18, di UNISEL, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya memenangi anugerah melalui penyertaan SLICE18.

“Saya optimis peserta yang berjaya memenangi anugerah akan meneruskan kajian dan penyelidikan dilakukan, manakala yang tewas teruskan usaha,” katanya.

SLICE18 berlangsung selama tiga hari bermula 14 November lalu dalam usaha menjadikan Selangor sebagai pusat penyelidikan serantau.

Ia bertujuan merangsang dan menarik pelajar tempatan serta penyelidik untuk melaksanakan aktiviti ilmiah, selain mempertingkatkan inovasi dalam kalangan peserta.

Selain itu, ia juga memperluaskan ruang bagi inovator baharu dan pelawat untuk bertukar pendapat serta pandangan berhubung hasil inovasi.

Menerusi tema “Menjana Inovasi dan Kreativiti”, SLICE18 menyediakan pelbagai program menarik antaranya pameran produk dan bicara industri revolusi industri 4.0.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah kepada peserta mengikut kategori A (Pelajar Sekolah); B (Pelajar Pengajian Tinggi); C (NGO/Komuniti/Ahli Persatuan) dan D (Ahli Akademik/Industri Profesional).

Turut didakan Anugerah Khas Industri dimenangi Universiti Tun Hussein Onn, Institut Darul Ehsan dan UNISEL.

Anugerah ICT Boot Camp (ICTBC) pula dimenangi 10 sekolah sekitar Selangor antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kundang; SMK Bandar Tasik Puteri, SMK Sungai Burong; SMK TTDI Jaya; SMK Sungai Manggis; SMK Seri Indah dan SMK Darul Ehsan.

Selain itu, Kolej Vokasional Kuala Selangor; Sekolah Agama Menengah (SAM) Tanjung Karang dan SAM Bandar Baru Salak Tinggi turut memenangi Anugerah ICTBC.


Pengarang :