SELANGOR

SLICE18 sasar 200 penyertaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 NOV: Ekspo Inovasi dan Kreativiti Selangor 2018 (SLICE18) yang dijadual berlangsung selama tiga hari, bermula 14 hingga 16 November ini disasar menarik penyertaan 200 peserta.

Pengarah program, Dr Mohd Tariqi Lope Ahmad berkata, ekspo dengan kerjasama Universiti Selangor itu dikelaskan kepada empat kategori, iaitu pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, komuniti atau badan bukan kerajaan dan ahli akademik atau profesional di organisasi korporat.

Katanya, ia menjadi landasan tepat bagi membuktikan keupayaan masyarakat khususnya kakitangan akademik, penyelidik dan pelajar untuk mengetengahkan hasil produk baharu yang menggunakan elemen ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja sama ada penyelidik muda mahupun tua untuk mengambil bahagian dalam ekspo ini kerana sasaran kita adalah menarik minat individu yang memiliki kreativiti serta inovasi dalam mencipta sesuatu produk.

“Di sini juga kita memberi fokus terhadap produk yang mempunyai elemen IR4.0 dalam aspek Teknologi Komunikasi Maklumat, Kejuruteraan, Biomedikal dan Bioteknologi.

“Malah, kesemua domain yang ada perlu diintegrasikan menggunapakai elemen IR4.0 supaya Selangor terus bergerak seiring dengan ledakan IR4.0,” katanya kepada SelangorKini pada Temubual FB Live ‘Selangor Innovation And Creativity Exposition 2018’ (SLICE18), di UNISEL, di sini, hari ini.

Bakal tampil dengan tema ‘Menjana Inovasi dan Kreativiti’, Mohd Tariqi berkata, ia dipilih berdasarkan kepada pembangunan sesuatu produk yang seharusnya bermula daripada konsep kajian dan penyelidikan.

Katanya, elemen kreativiti perlu diterapkan sebelum dapat menghasilkan produk yang berdaya saing dan berinovasi tinggi.

“Antara pengisian program sepanjang tiga hari pameran berlangsung adalah ceramah bicara industri pelbagai bidang, manakala di peringkat UNISEL pula akan diadakan ceramah akademik dan beberapa program lain untuk pelajar sekolah yang dihoskan fakulti masing-masing.

“Diharapkan penganjuran kali pertama ini mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak dan berjalan dengan jayanya dan saya yakin setiap produk dipamerkan nanti memberi impak begitu besar terhadap negeri ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai SLICE18, boleh berhubung terus di talian 03-5522 3400/3511/3483 atau melayari laman sesawang www.slice18.unisel.edu.my untuk pendaftaran.

Penyertaan adalah percuma bagi kategori A (pelajar), kategori B (IPT) dan kategori C (komuniti), manakala bagi kategori D (Akademik dan Penyelidik) dari luar Selangor, RM500 akan dikenakan.


Pengarang :