SELANGOR

SLICE18 terima 120 penyertaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Ekspo Inovasi dan Kreativiti 2018 (SLICE18) menerima penyertaan seramai 120 peserta daripada ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi awam, badan bukan kerajaan dan orang awam.

Ekspo yang membuka tirai semalam, di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam itu disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Dr Mohd Nor Azman Hassan.

Majlis turut dihadiri Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Nor Azman berkata, beliau kagum dengan bilangan penyertaan seramai itu, selain berpendapat bahawa golongan saintis perlu diperbanyakkan dan bidang pendidikan harus dipertingkatkan supaya boleh setanding dengan industri antarabangsa.

Sementara itu, Mohammad Redzuan pula berharap supaya program membabitkan kepelbagaian latar belakang peserta dan bersifat keintelektualan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Program seperti ini dapat memupuk minat masyarakat setempat untuk bertali arus ke UNISEL dan sama-sama memperlihatkan inovasi-inovasi yang dipamerkan selaras dengan pembangunan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) di Malaysia,” katanya dalam ucapan.

Terdahulu, Dr Makio Miyagawa yang juga penerima Anugerah Ijazah Kehormat Sains Politik UNISEL turut diberi penghormatan menyampaikan syarahan khas bertajuk ‘Penglibatan Semula Jepun dengan Asia Tenggara, Terutama Dengan Malaysia di Bawah Pentadbiran Baharu’.

SLICE18 berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November ini sebagai usaha menjadikan Selangor sebagai pusat penyelidikan serantau.

Malah, intensi utama program itu adalah untuk merangsang dan menarik pelajar tempatan serta penyelidik untuk melaksanakan aktiviti ilmiah selain mempertingkatkan inovasi dalam kalangan peserta.

Pada masa sama, ia juga memperluaskan ruang bagi inovator baharu dan pelawat untuk bertukar pendapat serta pandangan berhubung hasil inovasi.

Menerusi tema “Menjana Inovasi dan Kreativiti”, SLICE18 menyediakan pelbagai program menarik antaranya pameran produk dan bicara industri berkenaan IR 4.0.


Pengarang :