EKONOMINASIONAL

SME Corp: Peruntukan Belanjawan 2019 jana nilai tambah PKS

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Peruntukan sebanyak RM17.94 bilion bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menjana tambahan RM3.8 bilion bagi tambah nilai PKS untuk tahun 2019, demikian menurut analisa SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Ini adalah peningkatan 0.3 mata peratusan pegangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada keseluruhan KDNK, menurut agensi berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

SME Corp yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyelaraskan pelaksanaan program pembangunan PKS di semua kementerian dan agensi berkaitan.

Sejumlah RM17.94 bilion diperuntukkan untuk pembangunan PKS pada 2019 di bawah Fokus Ketiga: Untuk Memupuk Ekonomi Keusahawanan pada Belanjawan 2019.

Antara inistiatif utama termasuk pembiayaan, Industri 4.0. eksport, pelancongan, pertanian, keusahawanan, pembangunan sumber manusia dan insentif.

Menurut Laporan Tahunan 2017/18 PKS yang dikeluarkan SME Corp Malaysia, PKS menyumbang RM435.1 bilion kepada ekonomi pada 2017, dengan pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi sebanyak 7.2 peratus berbanding 5.2 peratus pada 2016.

Untuk itu, sumbangan PKS kepada KDNK berjumlah 37.1 peratus pada 2017, dengan keseluruhan pekerjaan pada 66 peratus dan jumlah eksport 17.3 peratus.

Menurut SME Corp, tahun ini, sejumlah 158 program pembangunan PKS dilaksanakan untuk kebaikan PKS dengan jumlah keseluruhan komitmen kewangan sebanyak RM14.3 bilion.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :