NASIONALPENDIDIKAN

SPM: Subjek elektif dan bukan teras diawalkan mulai 2019

PUTRAJAYA, 13 NOV: Semua subjek elektif dan bukan teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dianjakkan ke akhir September sebagai persiapan awal menghadapi musim banjir mulai tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Lembaga Peperiksaan dan mencadangkan mata pelajaran berkenaan dilaksanakan lebih awal antara akhir September dan awal Oktober berbanding November pada masa ini.

Antara subjek terlibat adalah Bahasa Arab, Bahasa Punjabi, Bahasa Kadazan, Bahasa Iban, Kesusasteraan, Tasawwur Islam dan mata pelajaran Teknik Vokasional, katanya.

“Kita mahu memberi keutamaan kepada pelajar menghadapi peperiksaan subjek-subjek itu dengan lebih fleksibel…menghadapi peperiksaan dahulu agar tidak terjejas semasa musim banjir.

“Kita cadang perkara itu berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) di sini hari ini sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

 

Seramai 421,706 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula hari ini.

Sebelum calon SPM SMK Putrajaya Presint 16 (1) memasuki dewan peperiksaan, Maszlee bersalam-salaman dengan mereka serta memberikan kata-kata perangsang dan semangat. Beliau turut menyertai doa bersama pelajar sekolah berkenaan sebelum itu.

Dalam pada itu, Maszlee juga berkata Kementerian Pendidikan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga memindahkan calon-calon SPM ke pusat lain jika berlaku banjir.

“Kita bersedia untuk menghadapi apa jua situasi banjir dan insiden lain sepanjang peperiksaan SPM,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :