SELANGOR

Stadium Liverpool, MU boleh jadi contoh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Walaupun mengakui tidak meminati kelab Liga Bola Sepak Inggeris seperti Liverpool dan Manchester United, namun pengurusan stadium kedua pasukan itu wajar dijadikan contoh.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzah berkata, Stadium Anfield milik Liverpool dan Stadium Old Trafford milik Manchester United dibangunkan sehingga menjadi salah satu produk pelancongan menarik untuk pelancong dalam serta luar negara.

“Kita boleh pelajari cara mereka bangunkan stadium dan menjadikan Stadium Shah Alam sebagai salah satu produk pelancongan terkenal.

“Jika Kerajaan Negeri nak hantar saya pergi sana dan belajar, saya dan Pelabuhan Klang sanggup,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri perlu menyelesaikan beberapa isu asas terlebih dahulu sebelum proses menaik taraf Stadium Shah Alam dijalankan.

Beliau berkata, antaranya isu salah satu bumbung stadium yang dikatakan tertanggal semasa perlawanan akhir Piala Malaysia, baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri juga perlu menumpukan usaha menyelesaikan masalah banjir kilat yang melanda Stadium Shah Alam sedangkan ada lima pam yang dipasang tetapi tidak berfungsi,” katanya.


Pengarang :