Malaysia memberikan fokus membangunkan industri aeroangkasa
NASIONAL

Syarikat aeorangkasa China berminat melabur di Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Beberapa syarikat aeroangkasa China berminat untuk bekerjasama dengan firma Malaysia bagi membangunkan projek pusat sains, di negara ini.

Presiden Dewan Perniagaan Global Malaysia (DPGM), Prof Datuk Seri Dr Alex Ong berkata, antara yang berminat ialah Shenfei Aerospace International, yang bersedia melabur RM100 juta dan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi membina pusat sains bertaraf antarabangsa.

Katanya, DPGM juga bersedia menjadi jambatan kepada pihak China yang ingin membuat pameran serta menyebarkan maklumat mengenai sektor aeroangkasa, di Malaysia.

“Bidang ini sudah diperkasakan sejak dahulu lagi, namun ia perlu penambahbaikan daripada segi pengetahuan terkini untuk memastikan negara tidak ketinggalan dan sentiasa bersaing dengan negara maju.

“Pada masa sama, ia memberi kelebihan kemajuan kepada negara untuk meningkatkan jurang ekonomi dan hubungan dengan negara sahabat lain yang mempunyai teknologi seperti itu,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga sedang meneroka peluang pelaburan sektor berkenaan bersama bakal pelabur China dalam lawatan ke Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di Beijing bersama Pengarah MIDA Bahagian Pelaburan, Mohd Zukepli Embong, baru-baru ini.

“Hasil kunjungan itu, Mohd Zukepli menyatakan beberapa peluang pelaburan yang ada di Malaysia kepada bakal pelabur dalam beberapa bidang pusat sains,” katanya.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pengarah Urusan Shenfei Aerospace International (M) Sdn Bhd, Datuk Steven Tong dan beberapa rombongan pengusaha serta badan organisasi aeroangkasa, di Beijing.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya percaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah baik bagi meyakinkan pelabur luar negara membuat pelaburan, di Malaysia.

 


Pengarang :