EKONOMI

Syarikat besar harus bantu yang kecil teroka pasaran global

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan bahawa syarikat besar menawarkan bantuan kepada syarikat kecil untuk meneroka pasaran global melalui dagangan dalam talian bagi membolehkan dagangan Malaysia berkembang lebih cepat dan lebih besar.

Katanya, tidak perlu menjadi pengeksport besar untuk meneroka pasaran dunia dengan adanya dagangan dalam talian.

“Banyak bidang sudah berubah sekarang memandangkan dunia adalah pasaran kita. Malah jika kita tidak pergi ke negara tertentu, kita masih boleh berdagang dengan mereka.

“Kita boleh mengenal pasti produk mana-mana negara yang kita ingin berdagang dengan melayari internet untuk melihat apa yang mereka jual

“Mengenal pasti pasaran melalui internet membuka pasaran yang lebih besar daripada sebelumnya. Adalah baik jika kita melawat negara berkenaan, tetapi jika tidak, kita masih boleh mengetahui sesuatu produk untuk kemungkinan dieksport,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-27 Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (Malaysia South-South Association) (MASSA), di sini, malam tadi.

Menurut Dr Mahathir, dagangan dalam talian sudah menjadi sangat berkesan dan mudah sehingga ke tahap yang mana jika kita mempunyai produk kecil dari kampung, berkemungkinan boleh dijual di seluruh dunia dengan adanya kemudahan pengangkutan yang baik.

Dr Mahathir memulakan pembentukan MASSA berikutan lawatannya ke Chile, Brazil dan Argentina bersama komuniti perniagaan Malaysia pada 1991.

Untuk mengurangkan risiko memasuki pasaran baru, 84 anggota MASSA mengumpul sumber untuk membentuk sebuah syarikat konsortium, Malaysia South-South Corporation Bhd (MASSCORP), dengan matlamat menjadi pemangkin pelaburan ke negara membangun.

Berkenaan MASSA, Dr Mahathir berharap, ia akan menjadi lebih besar dengan memanfaatkan kaedah baru dagangan (dalam talian).

Presiden MASSA dan MASSCORP, Tan Sri Azman Hashim, berkata negara Selatan-Selatan antara yang masih belum diteroka.

Katanya, MASSA dan pemegang saham MASSCORP akan meneruskan misi untuk mewujudkan hubungan ekonomi, dagangan dan budaya dengan lebih banyak negara Selatan-Selatan di bawah kepemimpinan kerajaan baharu.

“Di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir, kita yakin bahawa anggota MASSA dan pemegang saham MASSCORP akan memperbaharui semangat untuk mengibarkan bendera Malaysia di negara Selatan-Selatan di mana mereka sedang dan akan menjalankan perniagaan,” tambahnya.

Dengan projek merangkumi hartanah, pembangunan infrastruktur seperti penswastaan air dan taman perindustrian, juga aktiviti perdagangan, pemegang dana MASSCORP sudah berkembang daripada modal permulaan sebanyak RM53.9 juta pada 1992 kepada RM71.5 juta pada masa ini.

“Kami yakin ia akan melepasi paras RM100 juta tidak lama lagi,” kata Azman.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :