SELANGOR

Tarik lebih ramai pelabur kuasai sektor pertanian

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 7 NOV: Langkah Kerajaan Negeri mengajak lebih ramai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor termasuk pengusaha dan pelabur luar untuk menguasai bidang pertanian, disifatkan wajar serta tepat pada masanya.

Pegawai Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, hal itu didorong perkembangan semasa yang perlu mengambil berat terhadap keperluan meningkatkan pengeluaran mutu dalam sektor ekonomi primer, di daerah ini khususnya dan Selangor amnya.

Malah katanya, sebahagian besar guna tanah di daerah terbabit berada pada kedudukan pertanian dan perhutanan iaitu dengan keluasan kira-kira 86,000 hektar.

“Kita terpaksa fokus kepada aktiviti membabitkan pertanian kerana tanahnya adalah tanah pertanian jenis gambut dan seperti sedia tahu tanah gambut hanya sesuai untuk pertanian, justeru pelabur tidak berani datang ke tempat seperti ini kerana ia berisiko besar.

“Bagaimanapun, untuk menjalankan sektor industri agak tidak sesuai di sini tetapi jika industri secara kecil-kecilan dan sederhana masih boleh dipertimbangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Tanpa berselindung, Nasir berkata, perusahaan pokok kelapa mempunyai potensi besar yang boleh disumbangkan di daerah itu.

Katanya, agensi berwajib misalnya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) digalakkan mengambil inisiatif bagi membantu pengusaha tanaman pokok kelapa.

“Sehingga kini, kita memiliki 5,772 pengusaha kelapa dan mereka harus dibantu supaya dapat mengeluarkan hasil tanaman dengan baik serta harga terjamin.

“Pada dasarnya, harga kelapa cukup mahal tetapi apa yang berlaku kelapa di sini tidak dipasarkan memandangkan tiada pihak yang menggerakkan usaha untuk memasarkan, lalu akhirnya terbiar.

“Jika ada sekali pun, harganya rendah dan kadangkala tidak mencukupi serta tidak dapat dipasarkan sehingga menyebabkan petani juga pengusaha kelapa kecewa kerana mereka bersusah payah mengerjakan tanaman berkenaan,” katanya.


Pengarang :