BERITA UTAMASELANGOR

Tenang, jangan sebar kenyataan berbaur perkauman

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman, kebencian serta menghasut berhubung insiden di kawasan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman USJ 25, pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah menghubungi Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan menerima jaminan polis akan melakukan siasatan terperinci ke atas insiden terbabit.

“Kerajaan Negeri yakin polis akan melaksanakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Selangor bahawa ini hanya perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak membabitkan unsur perkauman,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengecam tindakan biadap melampaui batas undang-undang, sekali gus mencetuskan keresahan penduduk setempat dan rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang anasir yang mahu menggugat ketenteraman dan keamanan dinikmati rakyat, di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan video kejadian yang memaparkan sekumpulan besar orang terbabit dalam pergaduhan, di kawasan kuil berkenaan.

Sekurang-kuranya 18 kenderaan dibakar dan sebuah lori terbalikkan.

Polis Subang Jaya dalam kenyataan berkata, pergaduhan itu tercetus ekoran salah faham antara dua kumpulan berhubung isu perpindahan kuil.


Pengarang :