SELANGOR

Tengku Amir Shah berkenan tinjau SAY IGNITE 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengadakan lawatan ke program Selangor Youth Community (SAY) IGNITE 2018, di Taman Tasik Shah Alam, di sini.

Baginda yang juga Penaung SAY bertitah, program itu bertujuan menarik belia pelbagai latar belakang dan berkebolehan menonjolkan bakat mereka.

“SAY IGNITE 2018 adalah platform kerjasama yang bukan sekadar acara satu hari, namun ia bertindak sebagai pemangkin bagi menampung beberapa inisiatif lestari lain.

“Beta sering membayangkan SAY sebagai pemudah cara dalam membantu isu berkaitan belia, sekali gus menterjemahkan visi menjadi sebuah komuniti yang membolehkan belia berkembang maju dan meneroka potensi baharu,” titahnya dalam kenyataan.

SAY adalah platform yang digunakan baginda untuk mendengar, belajar dan meneroka perkara penting supaya masyarakat dapat menyusun strategi serta mencapainya.

Baginda optimis SAY berupaya menjadi platform yang menghubungkan seluruh belia terutama, di Selangor dengan pembangunan seperti sukan, kesihatan, seni, muzik, keusahawanan dan perkhidmatan masyarakat.

Pada masa sama, baginda menyeru kepada semua belia di Selangor untuk bersama hadir memeriahkan program itu, yang diadakan sehingga jam 10 malam ini.

SAY IGNITE 2018 menampilkan beberapa aktiviti menarik antaranya perlumbaan kayak; Wayang Pacak; Kelas Pengenalan Kapal Layar; pameran fotografi dan permainan tradisional.

Selain itu, turut diadakan Debat Belia; pameran Galeri Seni; Street Soccer; Ride Your City dan persembahan artis popular antaranya Ismail Izzani dan Alif Satar, pada sebelah malam.


Pengarang :