Gambar hiasan. ARKIB SELANGORKINI
NASIONALPENDIDIKAN

Terap TVET dalam sistem sekolah, seawal usia pelajar 16 tahun

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 13 NOV: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diterapkan kepada pelajar seawal usia 16 tahun supaya golongan berkenaan bersedia memasuki pasaran pekerjaan.

Pengerusi Gerakan TVET Nasional, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, ia diusulkan selepas mengambil kira beberapa buah negara maju yang menerapkan proses pembelajaran TVET di sekolah mereka.

“Dalam perbincangan siri ke dua ini, kita mahu ia diubah mengikut kehendak semasa.

“Negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk berdepan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Justeru, kita mahu kerangka asal tahap pembelajaran ini diubah terlebih dahulu dan diterapkan di sekolah pada usia 16 tahun supaya pada usia 19 tahun, mereka sudah bersedia masuk ke pasaran kerja,” katanya yang juga Presiden Majlis Profesor Negara (MPN).

Beliau berkata demikian selepas Sesi Pembentangan Cadangan Kerangka TVET Nasional di Ibu Pejabat MPN , di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Gerakan TVET Nasional, Dato’ Ahmad Tajudin Jab dan Presiden Gabungan Kerjasama Institut Latihan Kemahiran Bumiputera, Nordin Abdul Malek.

Sementara itu, Ahmad Tajudin yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) berkata, di luar negara, tenaga kerja teknikal dan vokasional memasuki institusi-institusi latihan seawal usia 15 tahun dan mula bekerja ketika berumur 18 tahun, antaranya Austria dan Jerman.

Terdahulu, kajian ke atas pelajar yang memasuki alam persekolahan (Darjah Satu) pada 2006 yang kemudiannya tamat Tingkatan Lima pada 2016 menunjukkan fakta yang mengejutkan.

Daripada 500,178 pelajar yang mendaftar pada 2006, hanya 70.2 peratus iaitu 352,756 menamatkan pelajaran dengan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini bermakna negara kehilangan kira-kira 30 peratus pelajar dalam sistem persekolahan formal sepanjang proses itu dan hanya 6 peratus pelajar masuk ke TVET.


Pengarang :