NASIONAL

Terima keputusan, terus mara kehadapan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Semua pihak perlu akur dengan keputusan Biro Politik KEADILAN berhubung perkara berbangkit sepanjang Pemilihan KEADILAN 2018 berlangsung.

Calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, barisan kepimpinan baharu perlu mengambil iktibar terhadap semua isu yang berlaku dan memperbaikinya supaya ia tidak berulang di masa hadapan.

“Pemilihan sudah berakhir. Sekarang masa untuk perkemas keputusan. Biro Politik sudah buat keputusan mengenai isu undi ragu, undi hilang; semuanya sudah diberikan penjelasan dan pengesahan.

“Ini keputusan dibuat semua pihak dalam mesyuarat. Jadi kita perlu akur dan terima, gerak ke hadapan.

“Bagi pihak kita pun ada banyak yang ingin dibangkitkan. Saya mengambil ini sebagai satu iktibar dan apabila pembentukan barisan kepimpinan baharu, maka saya nak pastikan perkara ini (aduan) dikaji semula, semak dan diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata, persoalan berbangkit yang ditimbulkan sepanjang pemilihan ini sudah dijangka sejak awal cadangan penggunaan sistem E-Voting, namun ia perlu dilihat pada sudut positif bagi meletakkan kedudukan KEADILAN sebagai sebuah parti progresif dan berwibawa.

Dalam perkembangan sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota KEADILAN Selangor yang terus memberikan sokongan padu terhadap Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam pemilihan kali ini.

Menurutnya, Selangor perlu dijadikan sebagai kubu kuat KEADILAN dan ia perlu dipimpin tokoh berwibawa yang mempunyai rekod kepimpinan cemerlang.

“Selangor akan menjadi kubu KEADILAN. Maka Selangor perlu dipimpin orang berkaliber, berwibawa dan mempunyai rekod (pentadbiran) yang baik.

“Saya menghargai kerana anggota KEADILAN Selangor faham perkara ini dan mereka memberikan sokongan kuat kepada (Mohamed) Azmin dan Amirudin,” katanya.


Pengarang :