PBTSELANGOR

Terminal Bas Seksyen 17 mula operasi 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan Terminal Bas Seksyen 17 bakal beroperasi sepenuhnya, pada tahun depan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada beberapa agensi terbabit.

“Setakat ini, kerja naik taraf sudah siap sepenuhnya dan CCC itu dijangka akan diperolehi pada awal Disember ini.

“Sejurus kita terima CCC, terminal ini akan dipasang dengan sistem e-ticketing iaitu Terminal Management System (TMS) sebelum ia dibuka kepada umum dijangka tahun depan, namun tarikhnya akan dimaklum kemudian,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sistem itu bertujuan memberi kemudahan pembelian dan penempahan tiket secara dalam talian yang lebih mudah, menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan di kaunter.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan terminal dengan wajah baru itu nanti akan menjadi tumpuan orang ramai kerana ia berada di pintu masuk utama ke bandar raya Shah Alam.

Terdahulu, dijangka sebanyak 24 syarikat bas dikenal pasti akan beroperasi di terminal terbabit apabila ia beroperasi kelak.


Pengarang :