SELANGOR

Teroka sumber ekonomi baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri tidak boleh hanya bergantung kepada hasil premium dan cukai tanah kerana ia tidak akan dapat menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, statistik menunjukkan hasil pendapatan negeri bagi 2018 menurun ekoran daripada penurunan hasil berasaskan tanah.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri perlu bergerak proaktif dalam meneroka sumber ekonomi dan kekayaan baharu bagi menjana pendapatan.

“Pakar ekonomi meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi Selangor akan terus kukuh, pada 2019 hasil pendapatan negeri dianggar RM2.2 bilion, dengan perolehan utamanya hasil daripada premium tanah sebanyak 44.21 peratus dan hasil cukai tanah sebanyak 26.2 peratus.

“Anggaran ini menunjukkan sebahagian besar atau majoriti hasil pendapatan negeri ini bergantung kepada hasil yang diperolehi daripada tanah, dengan jumlah 70.41 peratus,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2019, di sini.

Pada masa sama, beliau menyambut baik langkah berani Kerajaan Negeri yang menjadikan Worldwide Holdings Berhad (WHB) sebagai peneraju kepada pelaksanaan sistem pelupusan pepejal moden melalui pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC).

Beliau yakin, Selangor bersedia mendakap teknologi baru yang canggih dan selamat seperti dilaksanakan di negara maju seperti Eropah dan Jepun menerusi kaedah Waste To Energy (WTE).

“Kejayaan WHB melaksanakan kerja menaik taraf dan memulihara tapak pelupusan seperti Tapak Pelupusan Air Hitam Puchong, yang kini dikenali sebagai Worldwide Landfills Park. iaitu sebuah taman rekreasi di atas 6.2 juta tan sampah adalah suatu rekod yang perlu dibanggakan.

“Selain itu, WHB juga menjalankan dua projek ‘renewable energy’ menggunakan ‘landfill gas’ dan membekal tenaga elektrik yang lestari kepada Tenaga Nasional Berhad,” katanya.


Pengarang :