SELANGOR

Teruskan KISS, perhalusi syarat kelayakan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang diwujudkan khas untuk memberdaya wanita wajar diteruskan, namun syarat kelayakannya perlu diperhalusi.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, ia bagi memastikan manfaat skim berkenaan sampai kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

Beliau juga optimis skim berkenaan diteruskan sekurang-kurangnya setahun lagi.

“Apabila ekonomi sudah stabil, kita mungkin boleh memperlahankan pemberian KISS, sekali gus membantu mereka yang kurang berkemampuan dengan cara lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga optimis program anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) lebih dipelbagaikan dengan aktiviti yang mampu memperkasa golongan terbabit, pada masa depan.

“Saya berharap Kerajaan Negeri kekalkan PWB dengan pelbagai program yang lebih menarik kerana ia sedikit sebanyak membantu golongan ini mengisi masa dengan aktiviti berfaedah selain duduk sahaja di rumah,” katanya.

KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan seperti bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah.

Manakala, PWB dilaksanakan demi memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi serta melahirkan wanita Selangor yang berdaya untuk membangun sebuah masyarakat maju dan progresif.


Pengarang :