BERITA UTAMANASIONAL

Tiada semburan air, PDRM hormat rumah ibadat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 27 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membuat semburan air kepada perusuh yang berada di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman kerana menghormati rumah ibadat terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau kesal apabila ada tuduhan yang mendakwa anggotanya lambat bertindak sehingga menyebabkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Orang cakap senang, ada rusuhan, sembur dengan air dan sebagainya. Ini kawasan ibadat, kalau kita ambil tindakan sebegitu, sudah tentu PDRM pula dipersalahkan.

“Jangan sesekali mengeluarkan kenyataan tidak tepat. Polis sudah membuat kawalan di lokasi kejadian sejak awal pagi dan kami akan ambil tindakan mengikut kesesuaian,” katanya dalam sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kritikal setelah diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, pada jam 1 pagi tadi.

Pada masa sama, Mohamad Fuzi berkata, sehingga tengahari tadi, seramai 21 individu ditangkap berhubung kes rusuhan di kuil berkenaan.

Katanya, kesemua suspek ditahan di sekitar kawasan Lembah Klang dan operasi memburu masih lagi diteruskan hingga kini.

“Saya minta jika orang awam ada maklumat, tolong maklumkan kepada PDRM dengan kadar segera dan kita amat memerlukan maklumat lajut daripada saksi kejadian,” katanya.


Pengarang :