BERITA UTAMASELANGOR

Tingkat kebajikan, laksana amanah sebaiknya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri akan terus berusaha memelihara dan meningkatkan kebajikan untuk seluruh rakyat termasuk kaum India, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam perutusan sempena Deepavali berkata, mandat diberikan rakyat khususnya dalam era Malaysia baharu ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin dan bukannya mengelabui mata pemimpin selain menjauhi sifat angkuh.

“Sekian lama kita berjuang, janganlah pula kilauan kekuasaan mengelabui mata kita kerana mandat diperolehi pada pilihan raya umum itu adalah tanggungjawab besar kepada pentadbiran negeri.

“Makanya saya berikrar Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan serta kemaslahatan seluruh masyarakat termasuk masyarakat India dijamin dan dibela.

“Bertunjangkan cita-cita Maju Bersama, Kerajaan Negeri akan menggarap program pemerkasaan masyarakat India supaya mereka dapat bersama menikmati kemakmuran negeri ini,” katanya.

Katanya, sambutan Deepavali atau ‘Diwali’ amat bermakna buat semua rakyat Malaysia kerana ia dianyam kukuh tema pengakhiran kegelapan dan kemenangan cahaya serta terbitnya sinar baharu seperti judul koleksi surat Raden Adjeng Kartini yang berjudul ‘Habislah Gelap Terbitlah Terang’.

Katanya, setiap agama mendorong ke arah kebaikan, sekali gus mendorong kepada kekuatan Selangor iaitu suatu masyarakat majmuk dan rencam adat budayanya.

“Oleh kerana itu, Selangor sentiasa dijuluki negeri emas Malaysia, bukan sahaja kerana kemajuan fizikalnya tetapi sebagai negeri aman tenteram tempat rakyatnya berteduh mencari rezeki,” katanya.

Dalam perutusn sama, beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor yang menyambut perayaan itu, khususnya masyarakat beragama Hindu dan Sikh.


Pengarang :