NASIONALSUKANKINI

TPM alu hasrat Chong Wei terus karier

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut baik hasrat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, bagi meneruskan karier sebagai pemain.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan mengikuti rapat mengenai diri Chong Wei dan keputusannya kembali ke gelanggang adalah perkembangan positif untuk dunia sukan negara khususnya badminton.

“Iltizam Chong Wei menjadi sumber inspirasi buat semua bekas pesakit kanser, tiada apa yang mustahil.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan terus harumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya dalam laman sosial twitternya, @drwanazizah

Dalam sidang media di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, hari ini, Chong Wei berkata, beliau belum berhasrat untuk bersara dari dunia badminton negara susulan kesihatannya semakin pulih daripada kanser hidung dihidapinya sejak bulan lalu.

Beliau berkata, walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

“Saya amat menyayangi sukan badminton dan tidak bersedia bersara.

“Saya menerima rawatan di Taiwan dan kini semakin pulih daripada kanser dihidapi,” katanya.

Chong berkata, keutamaannya ketika ini adalah kesihatan dan tidak pasti bila akan kembali menjalani latihan sama ada akhir tahun ini atau sebaliknya.

Beliau berkata, ketika ini masih meneruskan rawatan kanser tiga kali sebulan serta keadaannya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga dan semua termasuk peminat.

Pada September lalu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataannya mengesahkan jaguh nombor satu negara menghidap kanser hidung tahap satu dan menjalani rawatan di Taiwan.


Pengarang :