NASIONAL

TPM: Pantau penggunaan telefon dalam kalangan kanak-kanak

SEREMBAN, 3 NOV: Penggunaan telefon adalah medium komunikasi utama kanak-kanak hari ini dan jika tidak dipantau sewajarnya, mereka akan terdedah kepada bahaya alam siber seperti pornografi, pendedahan seksual, pengantunan (child grooming) kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5, 2014) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2017.

Katanya dalam kajian KPKM-5 2014 mendapati penggunaan telefon adalah medium komunikasi paling tinggi yang digunakan dalam kalangan remaja dengan ibu bapa iaitu 73 peratus, diikuti dengan sistem pesanan ringkas 54.6 peratus dan media sosial 15.6 peratus.

Manakala kajian SKMM mendapati 83.2 peratus kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 17 tahun adalah pengguna internat dan 93 peratus daripada kanak-kanak ini melayari internet menggunakan telefon pintar, katanya.

“Kita semua perlu menerima perubahan zaman yang berlaku kepada generasi anak kita… namun begitu, kita sebagai ibu bapa perlu bertindak secara bijak menangani perubahan yang mendatang.

“Ramai yang leka menggunakan media sosial sehingga mengabaikan banyak aspek perhubungan langsung yang perlu dalam keluarga bagi memupuk suasana mesra yang boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Menyedari situasi ini, LPPKN telah menganjurkan kempen “No Gadget Hour” bertujuan untuk memastikan ibu bapa mempunyai masa berkualiti bersama anak dan tidak mengutamakan penggunaan gajet semasa,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Bagi menyediakan sokongan tambahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak remaja, beliau menyambut baik kerjasama United Nations Population Fund dan LPPKN dalam membangunkan satu aplikasi maya yang dinamakan sebagai mykafeTEEN.

“Aplikasi mesra remaja ini usaha terbaharu LPPKN untuk mendidik dan memberi khidmat sokongan kepada remaja khususnya berkaitan isu kesihatan.

“Perkhidmatan yang disediakan merangkumi informasi kesihatan reproduktif, pemainan edutainment e-games selain aktiviti Teen Talk dan Teen Chat bersama kaunselor remaja dan doktor.

Dr Wan Azizah berkata bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 ini juga, konsep ‘Keluarga Bijak Siber’ akan digunakan sebagai medium dalam pelaksanaan pelbagai program seperti seminar, forum dan mana-mana program interaktif di seluruh negara sepanjang November ini.

“Ia bagi meningkatkan ilmu berkaitan penggunaan media sosial yang beretika untuk kesejahteraan keluarga dan kesedaran mengenai bahaya alam siber tanpa kawalan dan pemantauan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :